Sunday, 26 September 2010

Kenyataan Rasmi PCM Tentang SINAR 10

Assalamu'alaikum W.B.T

Bismillah walhamdulillah, segala puji bagi Allah,Tuhan sekalian alam kerana rahmatnya yang melimpah ruah buat kita. Selawat dan salam buat Junjungan mulia Rasulullah saw serta buat seluruh ahli keluarga baginda,sahabat-sahabat dan pembawa risalah kebenaran sekalian.

Merujuk kepada sedikit kekecohan yang berlaku semasa program Seminar Akademik (SINAR '10) yang telah diadakan pada hari Khamis,23 September iaitu 2 hari lepas,saya mewakili pihak PERUBATAN Cawangan Mansurah (PCM) dengan ini akan mengeluarkan satu kenyataan rasmi untuk memberi penjelasan yang sebenar berkenaan isu ini kepada mahasiswa/i Mansurah khususnya kepada mahasiswa/i baru bagi mengelakkan berlakunya kekeliruan dan salah faham antara mahasiswa/i baru dengan persatuan PCM.

Penerangan Masalah Yang Timbul

Program ini yang pada awalnya bermula dengan lancar sekali seawal jam 1.30 petang dengan kehadiran mahasiswa/i baru sekitar 160 orang memenuhi ruang Dewan Handusah, Fakulti Perubatan Universiti Mansurah. Turut hadir dalam program ini adalah Dr Raouf El Nafees selaku Timbalan Dekan Fakuti Perubatan, Dr Nesreen Salah Omar selaku koordinator bagi mahasiswa/iantarabangsa Fakulti Perubatan, Dr Said Elhady selaku Pengarah Program Perubatan Mansoura-Manchester dan turut hadir ialah Dr Muhammad Hussin mewakili agensi Global Medic Network (GMN).

Setelah kesemua dif-dif dijemput menjamu selera, keadaan menjadi tegang apabila pegawai GMN tiba-tiba memberi arahan meminta semua mahasiswa/i di bawah agensi GMN untuk keluar daripada dewan. Mahasiswa/i yang sedang bersemangat untuk menyertai program tiba-tiba diarahkan untuk pulang atas sebab-sebab tertentu.

Barisan AJK pelaksana program cuba berunding dengan pegawai GMN agar membenarkan mahasiswa/i untuk terus mengikuti Seminar Akademik ini, namun terpaksa akur kerana pegawai GMN tetap dengan keputusan mereka .

Barisan AJK pelaksana program terpaksa melihat sahaja mahasiswa/i yang rata-ratanya kelihatan keliru pulang bagi menyiapkan urusan seperti yang didakwa.

Selepas itu, agenda program terus berjalan seperti yang dirancang dengan disertai oleh mahasiswa/i di bawah agensi Medicmesir sahaja disebabkan kekecohan ini. Program diteruskan dengan ‘Forum Mahasiswa Berkarisma' dan ‘Bengkel Kecemerlangan’ seperti yang dirancang.

Penjelasan Kepada Permasalahan Yang Timbul

Menjawab kepada permasalahan yang timbul, saya ingin menjelaskan bahawa :

1. Pihak Universiti Mansurah telah memberi kepercayaan kepada PCM untuk menguruskan Program SINAR '10 kerana mahukan keterlibatan daripada semua mahasiswa/i tidak kira datang daripada mana-mana agensi atau yayasan sekalipun.

2. Program SINAR ’10 adalah program tahunan Universiti Mansurah dan PCM yang telah diadakan sejak tahun-tahun yang lalu untuk semua mahasiswa/wi baru.

3. Pihak PCM berpendapat bahawa program SINAR '10 ini sangat penting sebagai persiapan dan persediaan mental dan fizikal mahasiswa/i baru untuk melangkah ke alam kuliah yang akan bermula beberapa hari lagi.

4. Sehari sebelum program ini diadakan, Pihak PCM dengan diketuai oleh saya selaku Pemangku Pengerusi bersama-sama Pengarah dan Timbalan Pengarah Program Sambutan Mahasiswa/i Baru (PSMB) telah berjumpa dengan Dr Muhammad Hussin selaku pegawai atasan Global Medic Network (GMN). Perjumpaan ini bertujuan mendapatkan respon mengenai Program SINAR ’10 yang turut melibatkan mahasiwa/i di bawah agensi GMN. Namun perjumpaan ini tidak membuahkan hasil yang positif.

5. Untuk makluman semua, PERUBATAN Cawangan Mansurah adalah satu-satunya persatuan mahasiswa/i perubatan di Mansurah yang berdaftar dan bernaung di bawah Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK) / MalaysianStudent Department (MSD)

Makluman Khas

1. PCM masih lagi mengambil pendirian untuk membuka penyertaan setiap program PCM kepada semua mahasisawa/i baru tidak kira daripada agensi mana sekalipun.

2. Kepimpinan dan ahli PERUBATAN Cawangan Mansurah adalah terdiri daripada mahasiswa/i daripada semua agensi dan tajaan seperti JPA, MARA, Baitulmal, Yayasan Terengganu, Yayasan Islam Kelantan (YIK), GMN, Medicmesir, Akademi Quran
(AQ), Kelantan Medical Service (KMS) dan lain-lain.

3. Pihak PCM melalui fasilitator-fasilitator yang telah dilantik akan terus menghulurkan bantuan dan khidmat kepada seluruh mahasiswa/i baru.

Harapan

Saya mewakili PERUBATAN Cawangan Mansurah memohon maaf kerana tidak menyangka program berbentuk akademik ini mendapat halangan pihak tertentu. Moga-moga dengan penjelasan ini, segala kekeliruan dan persoalan berkenaan dengan isu ini akan terjawab. Akhir kalam, diharapkan seluruh mahasiswa/i dapat menghidupkan suasana harmoni, saling bantu-membantu, nasihat-menasihati dan bersatu di bawah payung PERUBATAN Cawangan Mansurah (PCM) tanpa mengira perbezaan jurusan, agensi serta tajaan. Sekian terima kasih. Siiru ‘ala barakatillah.

‘ILMUAN BERBAKTI, TEGUH SEHATI’

‘AT-TAQWA, AS-SYIFA’, AR-RAHMAH’

Yang benar,

AHMAD AZIZI BIN MD JUSOH

Pemangku Pengerusi,

PERUBATAN Cawangan Mansurah 2009/2010

0 Kata-kata hikmah: